22.10.09

PERIA

Adapun buah peria itu, kalau ditanam di atas batas sakar, dan dibaja dengan madu, lagi disiram dengan manisan, atau diletakkan di atas tebu sekalipun, apabila masak pahit juga.
Inilah perumpamaan yang paling panjang pernah saya temui. Perumpamaan ini menarik dan kena dengan situasi semasa. Tentang jati diri dan nilai sesebuah bangsa.
Secara jelas, pencipta perumpamaan ini mengambil analogi alam iaitu buah peria yang memang diketahui sifatnya dan rasanya yang pahit. Saya tidak pasti samaada beliau telah membuat ujikaji dengan “menanam peria di atas batas sakar, dan dibaja dengan madu, lagi disiram dengan manisan, atau diletakkan di atas tebu” untuk membuktikan bahawa buah peria takkan berubah sifatnya dan rasanya walaupun dicuba dengan pelbagai cara.
Sebenarnya perumpamaan di atas di tafsirkan kepada manusia yang berlaku buruk atau jahat yang disamakan dengan rasa pahit peria itu. Makna asal perumpamaan ini ialah “orang jahat yang tidak dapat diperbaik kelakuannya”.
Namun, saya berpendapat persepsi itu (orang jahat tak akan berubah jadi baik) amat keterlaluan dan bernada prejudis.
Menyamakan peria dengan jati diri sesuatu bangsa amat tepat. Walau apapun cara digunakan untuk memaniskan peria, tidak akan berjaya kerana secara lahirian dan penciptaannya peria memang pahit dan akan pahit sampai bila-bila kecuali dengan izin Tuhan ia akan jadi manis. Wallahualam.
Perumpamaan ini yang lebih suka saya maksudkan dengan keutuhan jatidiri sesuatu bangsa yang sentiasa ingat nilai bangsanya. Segala cabaran dan pengaruh globalisasi dari aspek fizikal dan mental tidak akan mudah menyerap jika kita tahu fitrah diri.

2 ulasan:

  1. Almarhum Utz Hanafi pernah berkata; "..kucing lahir dah ada misai, manusia tidak..."

    Maksud...manusia itu fitrahnya boleh berubah. Jahat kpd Baik atau Baik kpd Jahat.

    Salaaaammmm

    BalasPadam