25.3.10

TAKABBUR


Islam adalah satu al-Din yang diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad S.A.W. dan umatnya. Islam diturunkan oleh Allah S.W.T. untuk memandu manusia ke jalan yang lurus dan diredhai-Nya. Secara umumnya, ‘ulama’ kita telah menghuraikan bahawa Islam itu terdiri daripada tiga perkara pokok iaitu aqidah, syariah dan akhlaq.

Akhlaq berasal daripada perkataan Arab yang diambil daripada perkataan al-khuluq yang bererti perangai atau tingkah laku, tabiat, kepercayaan dan pegangan. Akhlaq yang mulia melambangkan hati seseorang yang bersih dan bening serta suci dan luhur. Tidak syak lagi bahawa jiwa yang bersih akan melahirkan tingkah laku dan gerak geri yang mulia, sopan dan tertib.

Sumber nilai-nilai akhlaq adalah berdasarkan al-Qur’an dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W. yang mulia. Maka daripada firman-firman Allah S.W.T. dan Sunnah Nabi S.A.W., ‘ulama’ silam kita telah mengarang pelbagai kitab-kitab yang bermanfaat yang ada menyentuh tentang akhlaq yang mulia, contohnya Ihya’ ‘Ulum al-Din dan Bidayah al-Hidayah karangan Imam al-Ghazali, al-Nasa’ih al-Diniyyah wa al-Wasaya al-Imaniyyah karangan Shaykh al-Habib ‘Abdullah ‘Alawi al-Haddad, al-Risalah karangan Abu al-Qasim ‘Abd al-karim b. Hawazin b. ‘Abd al-Malik b. Talha al-Qushayri, al-Hikam karangan Shaykh Ibn Ata’illah al-Sakandari dan lain-lain.

Allah S.W.T. telah mengutus Nabi Muhammad S.A.W. sebagai pelengkap segala rasul. Nabi Muhammad S.A.W. diutuskan dengan membawa ciri akhlaq yang utama iaitu ‘penyerahan diri kepada Allah’ dan beliau juga diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq tersebut sebagaimana sabdanya, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq.” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim). Maka memang sepatutnya kita melafazkan salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dan Nabi Ibrahim a.s. di dalam tahiyyat solat kita seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W. Melalui mereka, kita dapat merasai nikmat Islam dan Iman.

Allah S.W.T. telah berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merendahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takabbur.” (Surah al-Sajdah: 15).

Maka, daripada tafsiran ayat al-Quran tersebut, jelas menunjukkan bahawa mereka yang beriman kepada ayat-ayat Allah terdiri daripada mereka yang bersifat tidak sombong, angkuh dan takabbur serta merendah diri. Mereka tidak angkuh untuk menerima arahan daripada Allah S.W.T. dan Nabi Muhammad S.A.W. Sikap ini jelas bertentangan dengan sikap mereka yang kafir dan fasik.

Bolehlah diambil pengajaran daripada ayat al-Qur’an tersebut, bahawa akhlaq orang yang beriman kepada ayat-ayat Allah S.W.T. adalah tidak sombong dan takabbur serta sentiasa membasahkan lidah mereka dengan mensucikan dan membesarkan Allah S.W.T. Ini bermakna mereka sentiasa mengingati Allah dengan membesarkan dan menyucikan-Nya dengan sebanyak-banyak sebutan.

Maka, kita sebagai orang Muslim yang beriman kepada ayat-ayat Allah, hendaklah kita menjauhkan diri kita daripada sikap sombong dan takabbur. Bagi menjauhi daripada dua sikap yang tercela ini, hendaklah kita mengetahui keburukannya dan seterusnya cara-cara untuk menjauhi dan mengubatinya.

Allah S.W.T. telah berfirman:

Maksudnya: “Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar daripada tanda-tanda Kekuasaan-Ku…” (Surah al-A‘raf: 146).

Nabi S.A.W. telah bersabda:

“Tidak masuk syurga orang yang dalam hatinya ada seberat zarah daripada takabbur.”
(Hadith riwayat Muslim).

Nabi juga telah bersabda:

“Allah Ta‘ala berfirman: “Takabbur itu redha-Ku dan kebesaran itu izar-Ku. Maka barangsiapa berebut salah satunya dengan Aku, maka Aku lemparkan dia ke dalam Jahannam.”

Secara ringkasnya, dapat dihimpunkan perkara-perkara yang menyebabkan sifat takabbur kepada tujuh:

1. Ilmu

Dapat kita ketahui bahawa orang yang berilmu dihormati oleh orang ramai. Maka tidak menghairankan sekiranya orang yang alim itu berasa takabbur dengan ilmunya, berasa besar diri dengan ilmunya, dan memandang rendah kepada orang lain terutama kepada mereka yang kurang ilmunya. Sebagai orang yang berilmu mereka berasa bahawa orang lain perlu sentiasa mengagungkannya, dan tiada siapa boleh menegur dan memberi nasihat kepadanya. Dia juga mungkin melihat orang lain yang kurang ilmunya sebagai manusia yang rendah tarafnya berbanding dirinya. Dia juga mungkin berasa bahawa dirinya sahaja yang akan selamat di sisi Allah manakala mereka yang lain akan binasa. Oleh kerana itu, kita mendapati bahawa ilmu itu boleh menjadi punca terbesar kepada sifat takabbur. Oleh kerana itu, Allah S.W.T. telah mengingatkan para nabi-Nya dengan firman-Nya:

Maksudnya: “Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman.” (Surah al-Syu‘ara: 215).

Selain itu, tidak dapat tidak mereka yang berilmu itu beramal dengan ilmunya. Jadi adalah menghairankan sekiranya mereka yang berilmu itu berperangai dengan sikap takabbur. Tidakkah mereka pernah mendengar sabda Nabi S.A.W. :

“Bahawasanya yang terlebih sangat manusia seksa pada hari kiamat itu orang alim yang tiada memberi manfaat akan dia ilmunya” (yakni tiada mengamalkan dengan ilmunya). (Hadith riwayat Thabrani dan Baihaqi).

Maka sewajarnya mereka yang berilmu merupakan orang yang paling bersungguh-sungguh menjauhi sikap takabbur.

2. Amal Ibadat

Ada di kalangan ahli ibadat memiliki sifat takabbur disebabkan banyaknya amal ibadat yang dilakukannya. Mereka ini berasa merekalah sebaik-baik manusia yang paling layak mendapat tilikan rahmat daripada Allah. Mereka ini tidak dapat memanfaatkan amal ibadah yang dilakukan untuk menempa sifat-sifat mulia dan menjauhi sifat takabbur. Ada juga antara mereka yang apabila sudah terlalu takjub dengan amal ibadat mereka yang banyak berasa bahawa manusia lain yang kurang amal ibadatnya akan binasa. Rasulullah S.A.W. telah bersabda: 

“Jika kamu mendengar seorang mengatakan semua orang binasa, maka dialah yang lebih binasa.”

Ada juga di kalangan mereka yang berasa bahawa amal ibadat mereka semata-mata akan membawa mereka kepada rahmat dan syurga Allah. Mereka terlupa bahawa amal ibadat mereka itu bukan penentu utama untuk masuk syurga, tetapi sebenarnya ia bergantung kepada rahmat dan belas kasihan Allah. Cukuplah sekiranya kita dapat mengambil iktibar daripada sabda Nabi Muhammad S.A.W.:

“Tiada masuk syurga orang yang ada pada hatinya setimbang semut kecil daripada biji sawi daripada takabbur.” (Hadith riwayat Muslim).

Ini tidak bermaksud bahawa kita boleh meninggalkan amal ibadat dan tidak bersungguh-sungguh melakukannya. Tetapi hendaklah kita mengelakkan diri daripada terpedaya dengan amal ibadat kita sendiri.

3. Nasab Keturunan

Ada sesetengah manusia bersifat takabbur disebabkan oleh nasab keturunannya. Dia bermegah-megah dengan kemulian keturunannya dan memandang rendah orang lain yang tidak mempunyai nasab keturunan sepertinya. Mereka berasa keturunannya yang terdiri daripada salihin, ‘amilin, hartawan, bangsawan dan sebagainya menyebabkan mereka menjadi manusia yang mulia. Dari Abu Dhar r.a. katanya:

“Pada suatu hari aku bercakap-cakap dengan seorang, kataku: “Wahai anak si hitam.” Rasulullah S.A.W. segera menegur, sabdanya: “Wahai Abu Dhar! Tidak ada kelebihannya bagi anak si putih ke atas anak si hitam.”

Mendengar teguran itu, Abu Dhar pun segera membaringkan badannya seraya berkata kepada orang yang dikatakan anak si hitam, “Bangunlah dan pijak mukaku ini.” (Hadith riwayat Ibn Mubarak dan Ahmad).

Jelas di sini, sahabat Nabi S.A.W. segera menyedari kesilapannya dan bersedia merendahkan dirinya untuk menghilangkan rasa takabbur.

4. Paras Rupa Dan Kehebatan Fizikal

Ada berlaku di kalangan manusia yang takabbur dan menyombong diri di atas kecantikan dan kehebatan rupa parasnya. Maka timbullah di dalam dirinya rasa takjub dengan keindahan dan kehebatan rupa parasnya. Wajarlah mereka ini merenung sabda Rasulullah S.A.W.:

“Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada bentuk dan rupa kalian, akan tetapi Allah memandang kepada hati sanubari kalian.” (Hadith riwayat Muslim).

5. Harta Kekayaan

Biasanya sifat ini dimiliki oleh para pembesar dan para saudagar perniagaan. Mereka memandang rendah kepada golongan fakir miskin dan menganggap fakir miskin itu terdiri daripada mereka yang bodoh dan malas berusaha. Sedangkan mereka yang kaya itu tidak mengetahui keadaan sebenarnya. Sekiranya mereka mengetahui bahawa Allah berkuasa menarik balik segala harta kekayaan dengan sekelip mata, maka tiadalah mereka bersifat dengan sifat takabbur yang keji.

Ada juga di antara mereka menganggap golongan kaya mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah S.W.T. Mereka berkata bahawa mereka boleh bersedekah dengan sebanyak-banyak sedekah, sedangkan si fakir miskin itu untuk menyuap sesuap nasi ke mulut sendiri pun masih belum tentu. Mereka lupa sebenarnya Allah telah menempatkan kedudukan yang istimewa kepada golongan fakir miskin yang beriman kepada Allah S.W.T. Sesetengah golongan kaya sibuk dengan slogan ‘jihad ekonomi’ sehingga lupa jihad yang lebih besar iaitu jihad melawan hawa nafsu. Nabi S.A.W. telah bersabda:

“Kita kembali daripada perang kecil menuju perang besar.”

Maka tidak sewajarnya si kaya memandang rendah si miskin, kerana seperti yang diterangkan bahawa si miskin yang beriman itu besar nilainya di sisi Allah S.W.T. 

Dari Umaiyah bin ‘Abdullah bin Khalid bin ‘Usaid r.a., dia berkata, Rasulullah S.A.W. meminta kemenangan kepada Allah dengan perantaraan orang-orang miskin dan lemah dari kalangan kaum Muslimin.” (Hadith riwayat al-Thabrani).

Dari Ibn ‘Abbas r.a. dari Nabi S.A.W., baginda bersabda, “Aku melihat ke dalam syurga, maka kulihat sebahagian besar penghuninya adalah orang-orang fakir. Aku melihat ke dalam neraka, maka kulihat sebahagian besar penghuninya adalah orang-orang kaya dan perempuan.” (Hadith riwayat Imam Ahmad).

Orang kaya di sini merujuk kepada orang kaya yang tidak bersyukur terhadap nikmat Allah dan kaum perempuan merujuk kepada wanita yang tidak berterima kasih kepada suami.

“Allah S.W.T. telah berfirman: “Takabbur itu redha-Ku, dan kebesaran itu izar-Ku. Maka barangsiapa berebut salah satunya dengan Aku, maka aku lemparkan dia ke dalam jahannam.”

Kadangkala alamat takabbur itu zahir melalui perkataannya seperti yang dipertuturkan oleh iblis: “…aku terlebih baik daripadanya (yakni daripada Adam), Engkau jadikan daku daripada api dan Engkau jadikan dia daripada tanah.” (Surah al-A‘raf: 12).

Alamat lain takabbur itu ialah apabila berbicara dengan orang seperti tiada mahu kalah perkataannya daripada orang lain dan tiada mengikut nasihat orang dan meskipun perkataannya salah dan perkataan orang lain adalah benar.

Apabila kita bertemu dengan orang takabbur, hendaklah kita memberi pengajaran kepadanya dengan balasan yang setimpal. Sabda Nabi S.A.W.:

“Apabila melihat kamu akan orang yang merendahkan diri, maka merendah olehmu akan diri kamu bagi mereka itu dan apabila melihat kamu akan orang yang takabbur, maka takabbur olehmu atas mereka itu.”

Dan sabda Nabi S.A.W.:

“Takabbur olehmu atas orang yang takabbur, maka bahawasanya takabbur atas orang yang takabbur itu sedekah, (yakni seperti pahala sedekah).”

Setelah mengetahui hakikat dan keburukan takabbur itu, maka hendaklah dia menyediakan dirinya untuk diuji. Ujian ini bertujuan untuk menghikis sifat takabbur itu.

Pertama, dengan mendedahkan diri kepada kritikan yang membina. Sekiranya dia berasa berat menerima kebenaran yang terkandung di dalam kritikan tersebut, maka itu menunjukkan terdapat unsur takabbur dalam dirinya.

Kedua, dengan bergaul dengan rakan-rakan di dalam majlis-majlis keramaian dan mencuba untuk mengutamakan mereka dari dirinya, cuba berjalan di belakangnya, dan cuba duduk di bawah mereka. Jika hatinya terasa berat, maka itu menunjukkan dia mempunyai sifat takabbur maka sayugialah dia terus melatihkan dirinya sehingga terkikis sifat takabbur itu. Tetapi haruslah waspada agar tidak termakan tipudaya syaitan yang menghasut supaya bergaul dengan mereka yang dianggap rendah dan hina, supaya disangkanya kita telah bersifat tawadu‘ sedangkan pada hakikatnya tidak. Sebenarnya, dia bersifat takabbur di dalam lakonan sifat tawadu‘.

Ketiga, menghadiri jemputan orang fakir dan miskin dan pergi ke pasar untuk mendapatkan keperluan teman atau keluarga. Jika hatinya berasa berat, maka itu menunjukkan sifat takabbur. Jika dia berasa berat ketika disaksikan orang dan sebaliknya ketika tidak disaksikan, maka itu menunjukkan dia mempunyai sifat riya’.

Keempat, memakai pakaian buruk. Sekiranya dia berasa berat ketika sendirian, itu menunjukkan sifat takabbur, dan sekiranya berasa berat ketika berada di sekitar orang, itu menunjukkan sifat riya’.

Inilah antara latihan yang boleh dilakukan untuk mendidik dan seterusnya menghakis sifat takabbur. Tujuan utama latihan-latihan tersebut adalah untuk membiasakan diri kita dengan sifat tawadu‘ dan melunturkan sifat takabbur itu sedikit demi sedikit. Nabi s.a.w. telah bersabda:

“Kebaikan itu kebiasaan.” 

Selain itu, hendaklah kita berusaha untuk menghidupkan hati. Shaykh ‘Abd al-Qadir al-Jilani telah menggariskan empat cara untuk menghidupkan hati iaitu berzikir, berdoa, membaca al-Qur’an dan solat malam.

Dan akhir sekali, janganlah sekali-kali kita berputus asa dari rahmat Allah. Berdoalah selalu kepadanya agar Dia mengheningkan hati kita. Sesungguhnya tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Hendaklah kita mengetahui bahawa Allah S.W.T. menyukai orang yang berbuat baik dan membenci mereka yang berlaku jahat dan keji. Perlakuan baik dan jahat merupakan refleksi hati seseorang itu. Telah bersabda Nabi S.A.W.:

“Ketahuilah, bahawa dalam tubuh itu ada segumpal daging. Jika ia baik maka baik pula seluruh tubuh itu. Ketahuilah, bahawa segumpal daging itu adalah hati.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim).

Maka sayugianya kita menjaga hati kita daripada sifat-sifat yang keji, termasuk sifat takabbur. Hendaklah kita menyedari siapakah diri kita ini di hadapan Allah ‘Azza Wa Jalla. Hendaklah kita menginsafi dan menangisi segala kesalahan dan kejahatan kita. Hendaklah kita menyedari asal-usul diri kita ini. Maka tidak sewajarnya kita berjalan dengan angkuh dan takabbur di muka bumi Allah ini. Tiada beza diri kita di kalangan manusia yang lain melainkan taqwa. Allah S.W.T. telah berfirman:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.” (Surah al-Hujurat: 13).

Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan perawakanmu, tetapi Dia melihat kepada hati dan niatmu.” (Hadith riwayat Ahmad, Muslim dan Ibn Majah).

Rasulullah S.A.W. telah bersabda lagi:

“Tidak masuk syurga orang yang mempunyai seberat zarah dari sifat takabbur.” (Hadith riwayat Muslim).

Allah S.W.T. telah berfirman:

Maksudnya: “Tidak diragukan lagi bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka nyatakan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong.”

Telah berfirman lagi Allah S.W.T.:

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takabbur dan membanga-banggakan diri.” (Surah al-Nisa’: 36).

Cukuplah firman-firman Allah tersebut untuk menjadi sebaik-baik peringatan dan penutup kata. Wallahua‘lam.

* ringkasan dari malakian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan